Thursday, July 4, 2013

Min Yasmin Terima Jika Jodohnya Dengan Julfekar

Min-Yasmin-Terima-Jika-Jodohnya-JulfekarKUALA LUMPUR – Belum bersedia untuk berkongsi mengenai kisah peribadinya kepada umum, penyanyi, Min Yasmin sebaliknya mengambil langkah selamat untuk tidak

mengiyakan mahu pun menafikan hubungan cintanya yang terjalin bersama komposer lagu, Julfekar.

Namun, Min Yasmin akui dia sangat senang dan selesa berkawan rapat dengan komposer terkenal itu sejak dia menjadi pembantu peribadinya pada tahun 2009.

“Bercinta dengan Julfekar? Saya tak mahu menafikan atau mengiyakan soal ini kerana saya rasa lebih baik pihak lelaki saja yang jawab soalan ini terlebih dahulu. Lagipun saya belum bersedia untuk berkongsi mengenai hal peribadi saya.

“Cukuplah saya katakan saya senang dan selesa berkawan dengannya kerana dia seorang lelaki yang punya pemikiran yang sangat matang. Meskipun dia seorang yang tegas dalam kerjanya tetapi dia seorang yang mudah untuk dibawa berbincang dan berkongsi pandangan dan pendapat,” katanya kepada murai.com.my ketika dihubungi.

Min Yasmin diminta mengulas mengenai gosip cintanya dengan Julfekar berikutan dia antara penyanyi paling rapat dengan komposer tersebut. Tambahan pula dia adalah antara penyanyi yang bersama-samadengan Julfekar ketika komposer itu rebah dan jatuh sakit pada Ahad lalu.

“Memang saya bersamanya ketika dia jatuh sakit itu tetapi bukan saya seorang saja kerana saya bersama seorang penyanyi baru iaitu Hafeez Hai untuk bermain badminton. Namun kami terpaksa membatalkan hasrat tersebut kerana terpaksa menelefon ambulan untuk menghantar Julfekar ke hospital.

“Saya terkejut juga dengan apa yang berlaku tetapi nasib baik keadaannya kini semakin pulih dan saya turut bersamanya ketika dia dirawat di hospital pada hari itu. Doktor belum dapat pastikan masalah sebenar penyakitnya sehingga dia perlu membuat rawatan susulan, MRI pada 12 Julai ini, namun daripada pemeriksaan awal doktor memberitahu terdapat gelinciran pada tulang pinggulnya atau slipped disc,” jelasnya kepada portal Murai.

Min Yasmin merupakan salah seorang penyanyi di bawah naungan syarikat rakaman Julfekar iaitu Millenium Art Sdn Bhd.

Meskipun masih tidak mahu mengakui wujudnya rasa cinta di antara mereka, namun Min memberitahu dia tidak menolak seandainya Julfekar ditakdirkan sebagai jodohnya walaupun komposer tersebut sudah berusia dan berstatus duda.

“Saya terima jika ditakdirkan Julfekar adalah jodoh saya kerana saya sudah mengenali hati budinya dan selesa dengannya. Lagipun saya dan anak-anaknya pun sudah saling mengenali. Saya sebenarnya tidak kisah siapa jodoh saya asalkan dia bukan suami orang. Namun untuk perkahwinan pertama, saya mesti mahukan yang terbaik.

“Malah ibu bapa saya juga tidak kisah dengan siapa pilihan saya asalkan lelaki itu sayangkan saya walaupun dia berstatus duda,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Julfekar pernah digosipkan bercinta dengan penyanyi Farawahida, namun akhirnya pasangan ini berperang besar selepas penyanyi lagu Tanpamu itu mendakwa komposer tersebut mahu menyebarkan gambar bogelnya.

Min yang mengetahui sejarah di antara Julfekar dan Farawahida itu bagaimanapun mengakui bahawa apa yang berlaku itu tidak sekali-kali menggugat kepercayaannya terhadap komposer duda anak empat itu.

“Saya tidak mahu komen mengenai apa yang terjadi di antara dia dengan pada Farawahida tetapi mengikut pendirian saya, saya lebih suka mengenali seseorang itu terlebih dahulu daripada terus menghakiminya.

“Malah, selama saya mengenali Julfekar, dia tidak pula menunjukkan sikap yang tidak baik, malah saya senang bersama dengannya,” luahnya lagi.

Terbaru lagu Jauh Di Mata nyanyian Min Yasmin bakal menjadi lagu OST untuk drama bersiri Cinta Yang Satu yang bakal ditayangkan di TV2 bermula 5 Julai ini.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive