Pelakon Beego mengakui selepas mendirikan rumah tangga dengan
aktres Linda Hashim Jun lalu, diet makanannya agak sukar dikawal.
Beego atau nama sebenar Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 33, berkata tabiat isterinya yang gemar memasak membuatkan dia terpaksa bekerja keras untuk lebih banyak melakukan senaman.
"Sejak berkahwin berat badan saya agak naik kerana Linda suka memasak, jika dia di rumah ada sahaja yang dia masak.
"Dia pula suka masak makanan berat dengan pelbagai jenis lauk, walhal kami hanya tinggal berdua sahaja.
"Ketika bulan Ramadan ini bukan sahaja pada waktu berbuka, malah waktu sahur pun kami makan makanan berat," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun, Beego berkata, bagi menjaga hati isterinya, dia akan tetap makan masakan yang telah disediakan walaupun selepas pulang daripada melakukan penggambaran.
"Kebiasaannya saya balik kerja sudah ada makanan disediakan, jadi terpaksa jugalah habiskan kerana tidak mahu membazir,
"Sebab itu saya sekarang lebih banyak bersukan untuk bakar semula lemak kalau tidak memang gemuklah saya," katanya.
Jelas Beego, Linda juga sering mencuba pelbagai masakan baru terutama yang menjadi makanan kegemarannya.
"Dia belajar masak makanan yang saya suka macam susyi, ‘shabu-shabu’ dan macam-macam lagi. Baru-baru ini dia minta saya untuk belikan peralatan untuk masak ‘tako’.
"Saya ikutkan sahaja sebab itu adalah minat dia tapi masalah kepada saya apabila saya jadi tukang makannya," ujar Beego berseloroh.
Bercerita tentang pengalaman kali pertama menjalani bulan Ramadan sebagai pasangan suami isteri, Beego berkata, hidupnya lebih lengkap dan teratur dalam melalui ibadah pada bulan mulia ini.
"Alhamdulillah rasanya sangat berbeza ketika hidup bujang dulu, setiap kali berbuka dan sahur ala kadar sahaja.
"Sekarang lebih sempurna, selalunya kalau bangun sahur saya yang akan kejutkan Linda sebab dia susah untuk bangun," katanya.
Tambah Beego, jika Linda sibuk di lokasi penggambaran, dia akan berbuka bersama keluarga mertuanya.
No comments:
Post a Comment