Thursday, September 20, 2012

Terengganu hilang 10 pemain termasuk 2 diimport

image (2)

Pasukan Terengganu kehilangan 10 pemain utama setelah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengambil keputusan melepaskan mereka selepas mendapat persetujuan bersama untuk saingan Liga Malaysia musim depan…..

Presidennya, Datuk Che Mat Jusoh memaklumkanbahawa 10 pemain yang dilepaskan itu termasuklah bintang bola sepak tempatan dan dua pemain import pasukan Terengganu yang masih mempunyai kontrak sehingga penghujung musim ini.

Menurutnya, pemain yang meminta mereka dilepaskan dan mendapat persetujuan daripada persatuan antaranya termasuklah Mohd Sharbinee Allawee (penjaga gol); Mohd Muslim Ahmad (pertahanan); Abdul Hadi Yahya (penyerang);  tiga pemain tengah, Joseph Kalang Tie; Reeshafiq Alwi dan Shukor Jusoh.

“Mereka ini akan beraksi bersama pasukan lain pada musim depan manakala dua lagi pemain kita yang minta dilepaskan Hariri Mohd Shafie (pertahanan) dan Ailim Fahmi Kamaruddin (penyerang).

“Selain itu, persatuan turut memutuskan tidak akan memperbaharui kontrak dua pemain import, Francis Forkey Doe dan Erison Da Silva yang akan berakhir sehingga November depan untuk musim akan datang (2013),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung kedudukan pemain pasukan Terengganu bagi kempen Liga Malaysia musim depan yang berlangsung di Pejabat PBSNT, di sini semalam.

Dalam pada itu, Che Mat menjelaskan berhubung permintaan dua pemain skuad Penyu iaitu Mohd Sharbinee dan Muslim, pihak persatuan telah memberi kebenaran kepada mereka untuk meninggalkan pasukan dalam usaha mencari permulaan baru susulan kontroversi baru-baru ini.

“Kedua-dua pemain telah memberitahu kita bahawa mereka perlu mencari ‘angin baru’ dan kami akur dengan keputusan yang diambil, biarpun sebelum ini mereka berdua telah memberikan khidmat terbaik bersama pasukan.

“Bagaimanapun bagi kes Joseph Kalang Tie, ia bergantung pada persetujuan daripada pasukan Sarawak, sekiranya pasukan Sarawak terima, maka kita perlu lepaskan beliau, namun jika sebaliknya beliau (Joseph Kalang Tie) masih bersama pasukan,” katanya.

Sementara itu, Che Mat turut mengumumkan bahawa bekas pengurus pasukan Piala Presiden, Marzuki Sulong dilantik sebagai pengurus pasukan baru, manakala Zulkifli Ali telah dilantik sebagai penolong pengurus 1 dan Ahmad Awang sebagai penolong pengurus 2.

Menurutnya, beliau menyerahkan kepada pengurusan baru untuk melantik  mana-mana pegawai termasuk ketua jurulatih baru dan memberi bayangan bahawa ketua jurulatih yang akan dilantik itu adalah dalam kalangan jurulatih tempatan.

Ketika ditanya mengenai situasi Terengganu yang bakal kehilangan hampir separuh tonggak utama susulan keputusan yang diambil pihak persatuan, Che Mat mengakui senario itu dan mengesahkan bahawa pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa pemain untuk beraksi bersama skuad Penyu musim depan.

Katanya, sesetengah pemain yang sudah dikenal pasti itu masih beraksi dalam saingan suku akhir Piala Malaysia dan pihaknya juga turut membuka peluang kepada pemain kelahiran Terengganu untuk bersama skuad Penyu musim depan termasuklah Hairuddin Omar, Norfarhan Mohamad dan Norshahrul Idlan Talaha.

“Bagaimanapun, mereka mesti menerima syarat yang kita kenakan ke atas mereka,” katanya.

Ditanya berhubung laporan penuh yang diminta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengenai keputusan terkini persatuan, beliau berkata, semua keputusan yang dibuat telah dimaklumkan kepada beliau (Menteri Besar).

PEMAIN YANG KEKAL

Abdul Manaf Mamat, Ahmad Nordin Alias, Hasmizan Kamaruddin, Muhamad Ashaari Shamsuddin, Mohd Faizal Muhammad, Marzuki Yusof, Mohamad Muhaimin Omar, Mohamad Shamirza Yusof, Md.Zubir Md Azmi, Mohd Saifuddin Bin Mokhtar, Nik Zul Aziz Nawawi, Mohd Fakhrurazi Musa, Shamsul Kamal Mohamad, Ismail Faruqi Ashaari dan Mazlizam Mohamad

PEMAIN YANG KELUAR

Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Mohd Muslim Ahmad; Abdul Hadi Yahya;  Joseph Kalang Tie; Reeshafiq Alwi dan Shukor Jusoh, Hariri Mohd Shafie, Ailim Fahmi Kamaruddin, Francis Forkey Doe, Erison Da Silva

Sinar

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive