BATU PAHAT -
Bapa kepada pelajar kolej swasta Muhammad Ammar A Rahman, 19, yang melondehkan seluar menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa malam ambang Merdeka baru-baru ini merayu peluang kedua kepada anaknya…..
A Rahman Abdullah, 53, memohon anaknya itu dibenar melanjutkan pengajian di mana-mana insitusi pengajian tinggi negara ini demi masa depan anaknya yang masih muda.
"Saya mohon, untuk masa depan anak saya, berilah peluang kedua kepadanya termasuk untuk melanjutkan pelajaran di mana-mana selepas ini. Kemungkinan ini kesilapan yang tidak disengajakan dan saya harap dia belajar daripada kesilapannya.
"Saya dengan rendah diri, jujur serta ikhlas memohon maaf bagi pihak anak saya kepada Perdana Menteri, isteri dan seluruh rakyat Malaysia," kata A Rahman di Taman Murni, di sini hari ini.
Muhammad Ammar, pelajar Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics ditahan bagi membantu polis berhubung kejadian itu di Perhimpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka malam 30 Ogos lalu.
Dia bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan polis pada 10 malam semalam setelah polis selesai merekod keterangannya dan pelajar itu kemudian dibawa pulang ke rumah ibu bapanya di sini.
A Rahman berkata, sejak pulang dari Bukit Aman anak bongsunya itu hanya berkurung dalam bilik dan enggan bercakap dengan sesiapa.
"Kami bimbang akan keadaannya yang enggan bercakap dan hanya memerap dalam nbilik," katanya.
Ibu kepada pelajar berkenaan pula, Rahilla Ahmad, 53, turut berasa sedih dengan kejadian tersebut dan mengharapkan masyarakat tidak terus menghukum anaknya itu.
"Saya pun tidak tahu nak cakap apa...sedih...baik buruk pun dia anak saya, kami sekeluarga perlu terima dia dan apa yang sudah dia lakukan.
"Saya cuma berharap masyarakat tidak terus menghukum kami sekeluarga dan berilah kemaafan dan peluang kedua untuk dia yang masih mentah dan tidak memikirkan implikasi tindakannya," katanya. -Bernama
No comments:
Post a Comment