LONDON –
Arsenal memalukan Liverpool di gelanggang sendiri apabila mencatatkan kemenangan 2-0 dalam saingan Liga Perdana England di Stadium Anfield malam tadi. Ia merupakan kemenangan sulung yang diraih skuad kendalian Arsene Wenger itu musim ini. Sebelum ini, skuad The Gunners sekadar seri tanpa jaringan dengan Sunderland dan Stoke City dalam dua perlawanan awal….
Pada aksi malam tadi, bintang baharu skuad The Gunners, Lukas Podolski mula menunjukkan taringnya apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-31. Seorang lagi muka baharu yang dibawa masuk Wenger musim ini, Santi Cazorla turut berjaya mencetuskan impak positif apabila meledak gol kedua buat Arsenal pada minit ke-68. Kemenangan itu sudah pasti memberikan kelegaan buat Wenger yang sebelum ini resah dengan persembahan tidak menentu anak-anak buahnya apabila gagal meledak gol dalam dua perlawanan awal.
Ketiadaan bekas kapten, Robin van Persie yang membuat keputusan untuk berhijrah ke Manchester United juga sudah boleh dilupakan berdasarkan prestasi membanggakan Podolski dan Cazorla. Sementara itu, kekalahan di laman sendiri yang dialami Liverpool sudah pasti membuatkan pengendali kelab itu, Brendan Rodgers tidak senang duduk. Selepas dimalukan dengan kekalahan 0-3 oleh West Bromwich Albion pada aksi pembukaan liga 18 Ogos lalu dan sekadar seri 2-2 dengan Manchester City minggu lalu, Rodgers masih belum mampu mencetuskan impak positif buat skuad The Reds selepas dilantik selaku pengurus bagi menghadapi saingan musim ini. Sesuatu perlu dilakukan Rodgers agar anak-anak buahnya tidak terus kemarau kemenangan atau beliau perlu bersedia untuk dipecat. – Agensi
No comments:
Post a Comment