“JIKA ia satu kesilapan, saya mohon maaf dan saya juga belajar dari kesilapan. Saya harap tiada lagi pihak yang akan memperbesar-besarkan isu terbabit
lagi,” begitulah luahan pelakon dan pengacara, Yasmin Hani berhubung isu lukisan inai menyerupai tatu di lengan suaminya, Sha’arin Razali, baru-baru ini.
Pada 8 Jun lalu, Hani dan suaminya telah terbang ke Bali, Indonesia untuk bercuti bersama dan Hani juga ada memuat naik beberapa gambar sepanjang mereka di sana.
Namun, yang menjadi perhatiannya adalah dua keping gambar, sekeping gambar berdua yang memperlihatkan lengan suaminya seperti mempunyai tatu dan sekeping lagi gambar yang memperlihatkan Sha’arin seperti melukis tatu di lengan.
Menurut Hani, dia menjangkakan melukis inai di lengan sama seperti apabila wanita yang ingin berkahwin melukis inai di tangan dan kaki mereka. Bagaimanapun, dia tidak sangka perkara ini menjadi isu dan perhatian ramai pihak.
“Selepas isu ini keluar, saya ada juga mencari maklumat tentang hukum melukis inai di tubuh. Saya juga kurang pasti dengan perkara ini dan setiap teguran yang diberikan, saya terima dengan hati terbuka.
“Cuma saya agak kesal dengan teguran dengan kata-kata kesat. Bagi saya, kata-kata menggambarkan diri kita yang sebenar. Saya bukan tak solat dan tak tahu hukum hakam langsung.
“Lagipun lukisan itu telah pun hilang beberapa hari kemudian. Cukup-cukuplah bermain dengan isu ini. Ada banyak lagi isu besar yang perlu diberi perhatian,” ujarnya kesal.
Tidak serik
Ditebak adakah dia serik lagi untuk berkongsi gambar peribadinya di laman sosial, Hani berkata, dia tak ambil peduli dengan kontroversi yang berlaku.
“Sejujurnya, walaupun emosi saya terganggu dalam keadaan saya hamil dengan perkara ini kerana rasa tertekan, tapi saya tetap akan berkongsi beberapa momen yang saya lalui di laman sosial.
“Saya tetap akan menjadi diri saya sendiri dan tidak akan cepat melatah dengan kritikan daripada pihak lain. Lagipun, ia tidak menjejaskan kehidupan saya langsung dan saya juga tak suka jejaskan kehidupan orang lain,” jelasnya.
Perlahankan karier seni
Berkongsi perkembangan kariernya, Hani berkata, memandangkan usia kandungannya bakal mencecah usia lima bulan Selasa ini, dia sudah mula memperlahankan aktiviti seninya demi keselamatan.
Ujarnya, dia masih menerima undangan majlis dan menjadi pengacara majlis, tetapi sudah mula menolak tawaran berlakon.
“Ada antara tawaran memerlukan saya menjayakan watak aksi. Jadi, saya terpaksa tolak dan memandangkan perut juga sudah semakin kelihatan, jadi tiada watak sesuai buat saya,” katanya.
Menurut Hani, dia bersyukur kerana tidak mengalami alahan yang teruk ataupun mengidam makanan pelik-pelik.
“Alhamdulillah, pengalaman pertama kali hamil ini memang terasa mudah, saya tidak alami alahan yang teruk, mengidam bukan-bukan.
“Saya juga boleh buat kerja seperti biasa. Cuma, keadaan jerebu sekarang membuatkan saya kurang sihat sedikit
No comments:
Post a Comment