Apakah yang difikirkan apabila melihat video seorang gadis berbaju kurung dan bertudung memberi makan kepada anjing ini?
Mungkin ada yang ‘respek’, tapi tak kurang juga yang ‘suspek’!
Namun setelah begitu banyak video dan gambar-gambar memaparkan orang Islam memegang anjing bertebaran sejak kebelakangan ini, kebanyakan masyarakat mungkin sudah jelas akan hukumnya.
Bagi gadis dalam video ini, tidak nampak sebarang kontroversi yang perlu timbul sebenarnya, memandangkan anjing berkenaan yang dipanggil Jiji tidak disentuh dan hanya diberikan makanan.
Apatah lagi jika melihat tempat kejadian, kemungkinan besar anjing tersebut bukan binatang peliharaan tetapi mungkin anjing terbiar yang sering dibantu untuk makan.
Bagi yang masih keliru, anjing (dan babi) adalah binatang yang dikategorikan sebagai najis mukhallazoh (berat) dalam Islam. Maka jika tersentuh binatang ini, anggota berkenaan wajib dibasuh sebanyak tujuh kali iaitu sekali menggunakan air bercampur tanah dan enam kali lagi dengan air mutlak.
Tiada dalil Al-Quran dan hadis yang menyatakan menyentuh anjing dan babi hukumnya haram, yang ada pun adalah dalil mengharamkan umat Islam memakan anjing, babi dan keturunannya.
Begitu pun menurut kitab ‘Al-Halal Wal Haram Fil Islam’ oleh Prof Dr Yusof al-Qaradawi, hukum membela anjing sebagai binatang kesayangan adalah haram.
Bagaimanapun, Islam tidak pula melarang jika anjing diperlukan untuk sesuatu tujuan termasuk berburu, menjaga ternakan dan tanaman; atau unit anjing di jabatan kepolisian.
Bagi yang berbuat baik kepada binatang yang memerlukan pula, sudah tentulah Islam – agama yang penuh ihsan tidak melarang malah pelakunya bakal mendapat pahala kerana melakukan kebaikan.
No comments:
Post a Comment