Luahan perasaan kecewa Aliff Aziz -
Kontroversi percintaan penyanyi muda kelahiran Singapura ini, bukan hanya sekali. Namun, setelah beberapa bulan digosipkan sedang bercinta, Aliff Aziz sekali lagi mengalami peristiwa pahit dalam kisah cintanya bersama penyanyi genit, Adira.
Sebelum itu, episod kisah cintanya bersama pelakon, Anne Ngasri juga bukan lagi sebuah rahsia. Aliff secara terbuka menceritakan hasrat dirinya ingin mengahwini janda beranak tiga dan kesudahannya, putus di tengah jalan.
Ada yang berkata, perasaan yang mudah jatuh cinta menyebabkan dirinya kecewa beberapa kali dalam percintaan. Namun, akui Aliff, dia bersyukur kerana diberi dugaan pada usia muda dan mahu belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan.
Mari ikuti temuramah Kosmo bersama pemuda berusia 21 tahun ini yang ditemui di majlis makan tengah hari di Hotel Royal, Kuala Lumpur, semalam, tentang kisah hatinya.
Kosmo: Bolehkah Aliff ceritakan tentang perkembangan anda sekarang?
Aliff: Saya kini terlibat dengan penggambaran drama gandingan bersama Aida Aris yang berjudul Nurul Kasih. Selain itu, saya juga terbabit dengan drama Epilog Cinta Kirana dan Gerhana.
Kosmo: Kenapa terima banyak tawaran dalam satu masa sehingga anda tidak terkejar dengan semua beban kerja?
Aliff: Ini kerana saya sudah lama bercuti dan sudah puas berehat. Kini tiba masa untuk saya penuhkan jadual kerja. Saya akan buktikan pada semua orang saya juga bagus dalam bekerja, bukan hanya kontroversi kisah cinta.
Kosmo: Ada gosip yang mengatakan anda lambat ke set penggambaran dan kurang berdisiplin. Boleh komen?
Aliff: Saya tidak menafikan, memang sekali dua saya ada terlewat kerana mungkin saya belum biasa dengan beban kerja yang sibuk seperti ini. Saya juga perlu beri masa untuk membiasakan diri saya sendiri. Ini bukan satu alasan, tapi saya terlajak tidur memang tidak disengajakan. Memang kadang-kadang, saya hanya dapat tidur selama tiga hingga empat jam sahaja. Bagaimanapun, saya tidak mahu merungut, kerana ini juga merupakan sumber rezeki buat diri saya sebagai anak seni.
Kosmo: Boleh komen tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh Adira baru-baru ini. Adakah mungkin selama ini, dia tidak cintakan anda dan menganggap anda sebagai rakan sahaja?
Aliff: Saya rasa biarlah kami berdua sahaja yang mengetahui status hubungan kami. Mungkin ada yang berkata, saya syok sendiri, tapi sekali lagi, biarlah kami berdua sahaja tahu apa yang terjadi di antara kami. Ini kerana perkara ini terlalu peribadi buat diri saya.
Kosmo: Sebelum ini, anda berdua tidak pernah menyatakan tentang status sebenar perhubungan. Jadi, sebenarnya bagaimana tahap perhubungan itu?
Aliff: Saya tidak mahu menjadikan perkara tersebut sebagai satu alasan kerana memang kami tidak pernah menyatakan bagaimana perhubungan kami. Namun, ramai yang telah lihat gambar-gambar saya dan dia di blog, tentang cincin dan sebagainya. Biarlah orang yang nampak itu, faham sendiri apa yang terjadi antara kami. Saya tidak mahu berbicara terlalu banyak, tapi kami memang sangat rapat satu ketika dahulu.
Kosmo: Apakah yang membuatkan perhubungan anda menjadi semakin renggang?
Aliff: Mungkin terlalu banyak halangan untuk kami teruskan hubungan rapat ini. Saya tidak mahu terlalu berbicara kerana kelak perkara ini tidak akan punya penghujung kerana mungkin kami akan saling berbalas kenyataan. Jadi, perkara yang sudah berlalu, biarlah ia berlalu. Kini, kepentingan utama saya ialah tujuan saya datang ke Malaysia adalah untuk mencari rezeki.
Kosmo: Bagaimana pula dengan status di laman Twitter anda?
Aliff: Saya tidak menyatakan nama sesiapa dan ia boleh jadi sesiapa pun. Sejujurnya, perkara tersebut, bukan untuk publisiti kerana saya bukan jenis yang mahu meraih populariti melalui kontroversi sedemikian. Ia tidak berbaloi langsung untuk karier saya. Kini, tanggungjawab saya ingin tunjukkan kepada keluarga dan peminat saya yang saya memang punya bakat dalam apa yang saya lakukan.
Kosmo: Adakah anda seorang yang mudah jatuh cinta, terutamanya cinta lokasi bersama artis?
Aliff: Saya seorang yang manja dan suka berkongsi masalah dengan seseorang yang rapat. Ada yang pernah berkata, saya kalau tidak ada cinta, umpama saya boleh mati.
Kosmo: Maknanya, anda harus punya seseorang, tidak boleh hidup solo?
Aliff: Bukan begitu, saya masih ada keluarga saya. Saya bukan seorang yang taksub bercinta. Saya ialah seorang yang mudah menyukai orang dan mungkin kini saya sudah mula tahu belajar untuk mengawal perasaan kerana sudah terkena.
Kosmo: Adakah anda serik untuk bercinta lagi?
Aliff: Saya tidak mahu kata serik, saya tidak mahu pula menjadi bujang terlajak. Ini ialah ketentuan Tuhan, walau kita sudah jadi sebaik mungkin, jika tidak ditakdirkan bersama, maka tidak jadi juga.
No comments:
Post a Comment