Seorang promoter jualan trauma selepas diajak melakukan seks rambang di sebuah padang bola
di Masjid Tanah, di sini, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Nurhazlina Shari, 17, dari Tanjung Bidara sedang menunggu rakan sekerjanya didatangi seorang lelaki tidak dikenali menghulurkan sejumlah wang sebelum mengajaknya melakukan seks.
Nurhazlina berkata, selepas setengah jam menunggu rakannya seorang diri di sebuah padang bola, seorang lelaki berusia awal 50-an yang menunggang motosikal jenis Honda Ex-5 menghampirinya.
Menurutnya, ketika itu, lelaki berkenaan menyapanya yang sedang berdiri di sebelah motosikal dan bertanyakan ia milik siapa.
"Selepas itu, lelaki tersebut menghulurkan wang berjumlah RM200 sebelum saya bertanyakan apa tujuan sebenar lelaki itu. “Tanpa segan silu lelaki itu menyatakan hasratnya mengajak saya melakukan hubungan seks dan katanya duit RM200 itu sebagai bayaran perkhidmatan," katanya.
Menyedari kawasan berkenaan adalah tempat awam, Nurhazlina menengking lelaki berkenaan kerana bersikap biadab. “Bimbang dengan apa yang berlaku saya terus hubungi rakan supaya datang cepat,” katanya.
Dalam waktu itu, Nurhazlina sempat mencatat nombor pendaftaran motosikal ditunggang lelaki berkenaan sebelum membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan mengenai laporan sebelum siasatan lanjut dilakukan.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 52 tahun di sekitar Balai Polis Masjid Tanah beberapa jam selepas mangsa membuat laporan.
“Suspek kemudian ditahan dan disiasat dibawa Seksyen 14 Akta kesalahan Kecil 1955 bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.
No comments:
Post a Comment