Alor Gajah:
“Kami terkejut bila melihat dua objek melayang di udara dan terhumban ke dalam longkang sebelum terdengar bunyi besi terseret lalu terhenti.
“Bagi mendapatkan kepastian, saya dan tujuh rakan yang sedang bermain gitar segera berlari ke arah objek itu dan mendapati ia rupanya-rupanya ialah dua penunggang motosikal…..
kata Rizal Mohd, 19, yang menyaksikan kemalangan di selekoh Kampung Ramuan China Besar, dekat sini, tengah malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, mangsa, R Logerwaran, 20, yang membonceng motosikal terbunuh, manakala penunggangnya, K Vinoch, 23, parah.
Difahamkan, dua bersaudara yang menaiki motosikal Yamaha 135 LC itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Datuk Setia, dekat sini. Sejurus tiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terhumban ke dalam longkang.
Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mereka mengalami kecederaan di kepala dan badan termasuk Logerwaran yang mati di tempat kejadian. Menurut Rizal, dia bersama tujuh rakan lain melihat motosikal dinaiki mangsa terseret berhampiran sebuah kedai iaitu kira-kira lima meter dari lokasi pembonceng motosikal terhumban ke longkang.
“Manakala, penunggangnya pula terbaring di tepi tiang papan tanda di sebelah kiri jalan dan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah.
“Penduduk kampung kemudian membantu membawa naik mangsa yang terperosok dalam longkang sebelum kami bertindak menghubungi talian kecemasan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Beliau berkata, sebaik ambulans tiba, paramedik melakukan pemeriksaan ke atas penunggang motosikal itu yang kemudian disahkan meninggal dunia.
Sumber ; metro
No comments:
Post a Comment