SHAH ALAM -
Bekas Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Mohamad Radzi Ishak mengaku tidak bersalah di atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua remaja lelaki berumur 15 tahun, empat tahun lepas….
Mohamad Radzi, 54, yang berdiri di dalam kandang tertuduh, didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran BKA 8411 secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian penunggang dan pembonceng motosikal, Muhammad Luqman Hakim Mohamad dan Muhamad Khairol Khaizuran Mohammed Sani di Jalan Kebun di sini pada 11.45 malam, 14 Sept 2008.
Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5,000 dan RM20,000 selain lesen digantung.
Timbalan Pendakwa Raya Aida Mastura Mohamed Aman mencadangkan agar Mohamad Radzi dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandunya digantung.
Peguam Mohamad Daud Ismail yang mewakili tertuduh, berkata pihaknya tidak membantah jumlah wang jaminan yang dicadangkan tetapi memohon pengecualian terhadap penggantungan lesen atas alasan Mohamad Radzi masih dalam tugas sebagai pegawai kanan polis di Bukit Aman.
"Anak guam saya memerlukan lesen untuk pergi ke tempat kerja kerana dia tinggal agak jauh iaitu di Bukit Beruntung dan hanya dia yang boleh memandu.
Sukar untuk dia bertugas jika lesennya digantung.
"Selain itu, tertuduh juga perlu lesen untuk membawa adik iparnya yang lumpuh serta tinggal bersamanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan tiga kali seminggu," katanya.
Majistret Zilfinaz Abbas membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk pengecualian penggantungan lesen dan menetapkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 7 Sept ini untuk sebutan semula.
Sumber : Sinar
No comments:
Post a Comment