Buat Duit Sambilan Dari Rumah

My Ping in TotalPing.com
Powered by Blogger.

Sunday, June 2, 2013

'Mujur kami tak terlanjur, rupa -rupanya adik beradik'

3 Kisah benar untuk anda baca dan jadikan iktibar….

Kisah cinta dan pertemuan sepasang kekasih yang berakhir dengan sedih. Hajat hati mencari seorang kekasih untuk dijadikan isteri tetapi terpaksa menerima hakikat, kekasihnya adalah adik kandung sendiri.
Kita ikuti cerita Nabiha (bukan nama sebenar) buat teladan dan iktibar bersama. Begini kisahnya:
"Saya berusia lewat 20-an, telah bekerja dan mempunyai keluarga angkat yang menyayangi saya seperti anak sendiri. Saya tidak tahu bagaimana bermulanya kisah hidup saya.
"Namun dalam meniti usia remaja ibu bapa angkat saya memaklumkan yang saya anak angkatnya supaya tidak timbul masalah di kemudian hari. Saya reda dengan pengakuan mereka dan tidak pernah curiga dengan kasih sayang dan perhatian mereka terhadap saya terutama apabila nama bapa saya dikekalkan pada kad pengenalan dan segala yang berkaitan dengan urusan hidup saya.
"Menjadi anak tunggal dalam sebuah keluarga yang agak berada menjadikan hidup saya agak mewah. Saya diberi pendidikan sempurna dunia dan akhirat. Alhamdulillah.
"Seperti orang lain saya juga terjebak dalam percintaan. Bukan mudah mencari keserasian dalam sebuah perkenalan. Bertahun-tahun lamanya saya mengambil masa untuk mengaku yang saya telah jatuh cinta.
"Pun begitu tidak semua percintaan akan berakhir ke jenjang pelamin. Kita hanya merancang, Allah yang menentukan segala-galanya. Ada yang patah di tengah jalan tetapi itu bukan bermakna hidup sudah berakhir.
"Mungkin belum ada jodoh dan Allah akan menghadiahkan seorang insan yang lebih baik untuk kita berkongsi hidup. Nasib menyebelahi saya apabila Nabiha (bukan nama sebenar ) menghulurkan salam perkenalan.
"Saya menerima persahabatannya itu dengan harapan ada bahagia di penghujung persahabatan kami itu. Nabiha seorang mahasiswi di institusi pengajian tinggi awam dan saya sudah pun bekerja. Saya senang berkawan Nabiha. Dia seorang gadis yang pandai membawa diri dan tidak banyak kerenah. Ciri-ciri tersebut menjadi idaman saya.
"Sesekali kami berjumpa di hujung minggu kerana saya tidak mahu mengganggu dia yang sibuk dengan tugasan dan persiapan untuk menduduki peperiksaan akhir semester, yang akan menentukan masa hadapannya.
"Disebabkan Nabiha masih menuntut ada ketikanya saya juga membantunya dari segi kewangan walaupun Nabiha tidak pernah meminta, 'saya ikhlas dan jangan segan untuk menerimanya' itu yang sering saya katakan pada Nabiha.
"Walaupun tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima namun, kerana sayang saya sanggup lakukan apa sahaja tanpa mengharapkan balasan walaupun sekecil zarah atau sebanyak isi alam.
"Pada hari konvokesyen Nabiha saya turut hadir bagi meraikan kejayaannya. Nabiha memperkenalkan saya kepada keluarganya, kami berjabat salam dan bertanya khabar.
"Selepas majlis itu saya tidak lagi berjumpa Nabiha tetapi kami masih berhubung. Dia juga sudah bekerja. Semasa di kampus Nabiha sangat aktif dalam persatuan dan perkara itu diteruskan di tempat kerjanya. Disebabkan masih solo tentu banyak masa terluang digunakan oleh Nabiha untuk melakukan apa yang dia suka.
"Pada masa yang sama, ramai kenalan baharu yang ditemuinya. Saya tidak pernah mengongkong pergerakan Nabiha kerana saya tahu dia sudah cukup dewasa untuk menguruskan dirinya sendiri.
"Suatu hari Nabiha menghubungi saya untuk berjumpa dan kami mengatur pertemuan di sebuah restoran sambil menjamu selera. Maafkan saya kata Nabiha tiba-tiba dengan nada sebak.
"Suasana ceria bertukar menjadi sedih. Kenapa dan apa yang terjadi? Saya bertanya untuk menceriakan kembali suasana yang bertukar menjadi suram.
"Sebenarnya saya adalah anak angkat dan sehingga kini saya tidak tahu siapa emak dan ayah kandung saya, katanya dengan air mata yang berlinangan di pipi.
"Saya faham perasaan Nabiha yang kecewa dengan nasib yang menimpanya walaupun dia ditatang bagaikan minyak yang penuh oleh keluarga angkatnya. Nabiha anak yang baik.
"Pada pertama kali saya berkenalan saya amat tertarik kepadanya yang amat sederhana dalam semua perkara. Tanpa banyak bicara saya menggunakan ruang yang ada untuk melamarnya sebagai suri hidup.
"Saya tidak memaksa tetapi memberinya waktu untuk berfikir dengan sebaiknya. Seminggu selepas pertemuan itu saya mendapat jawapan, Nabiha menerima lamaran saya. Itulah saat yang paling bahagia dalam hidup saya ini.
"Tiba waktu yang dijanjikan, keluarga saya bertandang ke rumah Nabiha untuk melamarnya. Sebenarnya anak saya Fahmi adalah anak angkat, dan kami memeliharanya kerana ibu dan ayahnya meninggal dunia sewaktu Fahmi masih kanak-kanak, demikian penjelasan yang diberikan kepada keluarga Nabiha oleh ayah angkat saya.
"Cerita yang sama diluahkan oleh keluarga angkat Nabiha kepada keluarga saya. Macam-macam soalan yang timbul dalam perbincangan itu. Saya yang pada mulanya tidak dibenarkan ikut sama dalam perbincangan akhirnya dipanggil oleh ibu bapa saya masuk ke rumah Nabiha.
"Pertanyaan demi pertanyaan diajukan, akhirnya saya terpaksa menerima hakikat bahawa jodoh saya dan Nabiha tidak ada. Paling sedih sekali kerana saya mendapat khabar Nabiha adalah adik kandung saya.
"Bapa angkat Nabiha dan ayah angkat saya adalah orang yang bertanggungjawab menguruskan pengambilan anak angkat untuk satu keluarga pasangan suami isteri yang terbunuh dalam satu kemalangan lebih kurang 30 tahun lalu.
"Mereka ini, ayah dan bapa angkat saya dan Nabiha adalah sahabat karib kepada ibu bapa kami. Kehadiran keluarga sebelah ayah saya telah mengesahkan yang kami adalah adik-beradik.
"Begitu kecilnya dunia. Inilah yang dikatakan takdir dan ketentuan Allah. Sedihnya hati saya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Air mata lelaki saya yang mahal akhirnya menitis juga. Segalanya telah tersurat untuk saya. Nabiha menangis teresak-esak setelah mendapat perkhabaran tersebut.
"Syukur kepada Allah kerana kami tidak pernah terlanjur. Malah sepanjang berkenalan, saya dan Nabiha tidak menunjukkan rasa cinta kami seperti pasangan kekasih lain. Entah mengapa saya amat menjaga ketertiban itu sepanjang kami berkawan.
"Saya telah kehilangan kekasih tetapi berganti dengan adik kandung yang telah terpisah sejak kami kecil. Silap saya kerana tidak pernah bertanya Nabiha kenapa nama ayahnya sama seperti nama ayah saya. Kini Allah telah menunjukkan kebesaranNya. Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku.
"Saya dan Nabiha menerima ujian ini dengan reda dan rasa syukur. Ketika Nabiha bersalaman dengan saya air matanya menitis membasahi tapak tangan saya. Saya memeluknya dengan erat sekali tanda syukur menerimanya sebagai adik saya dunia akhirat.
"Majlis yang meriah akhirnya bertukar menjadi pilu. Tetamu yang hadir turut mengesat air mata. Tiada perkataan yang mampu terucap melainkan air mata yang membasahi pipi.
"Pada majlis itu juga sebagai abang saya memberi kebenaran kepada bapa angkat Nabiha untuk menikahkan dia dengan abang angkatnya. Memang rancangan mereka untuk menjodohkan Nabiha dengan anak kandung mereka tetapi kerana Nabiha ada pilihan sendiri mereka akan merestuinya. Itulah yang dikatakan jodoh.
"Saya amat bersyukur dengan apa yang berlaku dan berterima kasih kepada Allah kerana memberi saya kebahagiaan dalam cara yang selama ini tidak pernah saya fikirkan. Mudah-mudahan Nabiha bahagia bersama suaminya.
"Kepada ibu ayah angkat saya dan bapa angkat Nabiha saya merakamkan terima kasih atas budi dan pengorbanan mereka membesarkan kami. Terima kasih sangat. Kepada ibu bapa angkat saya, insya-Allah saya akan cari juga seorang menantu yang baik seperti Nabiha untuk mereka. Doakan saya," Fahmi menutup ceritanya dengan sebak.
Saya juga terkedu membaca cerita ini. Seperti tidak percaya ia berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Apa pun hanya doa dipanjatkan ke hadrat Allah SWT agar kehidupan Nabiha dan Fahmi akan sentiasa di dalam peliharaannya dunia akhirat.
Mudah-mudahan segala yang diingini Fahmi akan dimakbulkan Allah.
Menamatkan catatan sepatah pesanan saya untuk renungan kita bersama.
Jangan berhenti bersyukur kerana dengan bersyukur kita kembali kepada nikmat Nya yang telah diberikan kepada mu terlebih dahulu selepas susah mu diganti dengan senang.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive