Tidak pernah terlintas di kotak fikirannya semua itu akan berlaku. Apatah lagi, ia membabitkan seseorang yang begitu dipercayai dan sentiasa di sisi ketika cintanya menemui noktah beberapa tahun lalu.
Namun takdir yang tertulis diterima pasrah aktres berdarah campuran Filipina dan Cina, Kimberly Sue Yap Chiu atau umum lebih mengenalinya sebagai Kim Chiu.
Saya gembira mereka bersama. Tiasa salahnya kerana kedua-duanya masih sendiri, sepatutnya semua bergembira apabila mereka bercinta," Kim Chiu
Gadis berusia 22 tahun itu berkata, dia gembira ketika mendengar bekas teman lelakinya iaitu aktor, Gerald Anderson menemui pengganti dengan aktres dan model, Maja Salvador.
Namun sebagai manusia, Kim Chiu yang membesar di Cebu City tidak menafikan, dia penat apabila persoalan yang sama terus diajukan kepadanya.
Selepas cinta mereka menemui noktah, Kim Chiu berkata, dia terus memandang ke depan dan memilih untuk tidak lagi mengulas mengenai bekas teman lelakinya, terutama hal berkaitan soal hati.
Sejak perpisahan mereka, Gerald dikatakan menjalin hubungan dengan seorang gadis dari Cebu sedangkan ketika itu dia bercinta dengan Ratu Pop, Sarah Geronimo.
Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Gerald. Namun ketika dikaitkan dengan Maja, Gerald menghampakan peminat yang mengharapkan penjelasan daripadanya apabila terus mengunci mulut.
Lantas Kim Chiu diburu media untuk penjelasan, namun memohon dirinya tidak terus dikaitkan dengan aktor berusia 23 tahun itu.
“Saya gembira mereka bersama. Tiada salahnya kerana kedua-duanya masih sendiri, sepatutnya semua bergembira apabila mereka bercinta,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran siri TV terbaru popular,
Mother, Sibling, Daughter, minggu lalu.
Kim Chiu berkata, Maja pernah menghubunginya dan memohon kebenaran untuk keluar dengan Gerald. Bagaimanapun, percintaan mereka menjadi bahan kritikan media kerana ia terjadi di luar jangkauan.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan mengenainya, malah tidak pernah menyangka ia akan berlaku,” kata Kim Chiu.
Enggan terus memikirkan mengenai perkara itu, Kim Chiu berkata, dia bersikap profesional malah tidak berdepan masalah jika ditawarkan bekerja dengan Maja.
“Mungkin antara saya dan Gerald lebih serasi sebagai kawan, bukan pasangan kekasih,” katanya yang sedang hangat digosipkan bercinta dengan aktor, Xian Lim.
Hubungan Kim Chiu dan Gerald mula diperkatakan apabila mereka mempamerkan keserasian dalam siri, Pinoy Big Brother Teen Edition.
Selepas hubungan mereka berakhir, Kim Chiu mendekati Xian Lim namun percintaan mereka ditolak peminat yang masih mengharapkan dia dan Gerald kembali bersatu.
Ketika ini, Kim Chiu dan Xian Lim sedang menikmati kemuncak dalam karier malah dilihat sebagai antara bintang paling menyerlah sepanjang tahun lalu.
“Saya gembira kerana dalam kesibukan, saya masih mampu menjadi contoh yang baik kepada kanak-kanak. Saya berharap dapat melakukan lebih banyak projek untuk terus mempengaruhi mereka ke arah kebaikan,” katanya.
Bagaimanapun kata Kim Chiu, tidak semua yang berada di dalam genggamannya itu datang mudah. Menyifatkan kejayaannya itu bertitik-tolak daripada restu keluarga, Kim Chiu tidak pernah melupakan kesengsaraan lalu.
Membesar tanpa kasih sayang bapa, ketika usianya menganjak 12 tahun, ibunya pula meninggalkan dia dan adik-beradiknya.
Dibesarkan sanak-saudara yang prihatin, Kim Chui berkata, sehingga ini dia tidak pernah mendengar berita mengenai kedua ibu bapanya.
Biarpun sudah lama memaafkan perbuatan kedua ibu bapanya, Kim Chiu berkata, dia membesar menjadi manusia yang sensitif dan berharap pengalaman itu tidak berulang andai ditakdirkan dirinya menjadi seorang ibu.
“Saya percaya, ibu bapa ialah insan terbaik yang wajar menjadi teladan kepada anak-anak,” katanya mengakui, kegagalan cinta dengan Gerald turut membentuk dirinya menjadi insan yang kuat dan berani.
No comments:
Post a Comment