KUALA LUMPUR 27 Ogos
Pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei bakal menamatkan zaman bujangnya dengan bekas pemain perseorangan badminton wanita negara, Wong Mew Choo, tahun depan...
Pemenang pingat perak Olimpik London itu berkata, beliau kini bersedia berkahwin dengan Wong yang dikenalinya sejak 2001 ketika mereka bersama-sama mengikuti kem latihan badminton negara.
Bagaimanapun, Chong Wei enggan menyatakan tarikh atau tempat yang dipilih untuk meraikan majlis bersejarah itu memandangkan semuanya masih dalam perancangan.
"Mungkin saya akan mengundur diri tahun depan kerana pertandingan penting sudah berakhir dan mula merancang memandangkan saya bukan lagi muda," katanya kepada Bernama.
Sebelum ini, pemain berusia 30 tahun itu pernah menyatakan hasrat untuk berkahwin tahun hadapan, bagaimanapun ketika itu beliau tidak mengumumkan wanita pilihannya.
Menurutnya, beliau tidak mahu kisah cintanya itu dipandang negatif sehingga mengganggu fokus dan persiapan beliau ke Olimpik London.
"Saya dan dia (berkawan) sudah banyak tahun. Tetapi kadang-kadang saya tiada masa dan saya mahu fokus pada karier dan biasalah kadang-kadang kita bergaduh," akui atlet dari Pulau Pinang itu.
Mengenang kisah lampau, Chong Wei mendedahkan, beliau dan Wong pernah berpisah ketika menyertai latihan di Korea Selatan pada 2009, namun, hubungan itu terjalin semula setahun lalu.
Dalam perkembangan lain, musuh tradisi atlet itu, pemain perseorangan nombor satu dunia Lin Dan dari China juga dilapor akan mengadakan majlis resepsi perkahwinan dengan bekas perseorangan wanita republik itu, Xie Xinfang bulan depan.
Sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment