NAMA mempunyai pengaruh yang signifikan dalam kehidupan seseorang individu termasuk nama panggilan khususnya bagi mereka yang terkenal atau seorang bintang.
Kemasukan penyerang kontroversi, Norshahrul Idlan Talaha ke Harimau Selatan secara sah Selasa lalu, dilihat memperkukuhkan barisan pemain Johor, sekali gus memberi perkhabaran gembira buat peminat fanatik bola Johor.
Pengerusi Johor Fan Club, Ghazali Samad berkata, susulan kemasukan Norshahrul Idlan, yang sebelum ini dikenali sebagai Mat Yo, sebanyak 434 respons peminat diterima yang memberi jolokan baru buat Pemain Paling Bernilai tiga kali berturut-turut itu.
“Nama gelaran ini biasanya diberi oleh peminat, kami yang menggelarkannya dan akan menjadi ikutan.
“Ia datang secara spontan menerusi laman Facebook kelab dan diterima semua peminat yang melihat perlu ada nama jolokan baru yang lebih sinonim dengan peminat di Johor.
“Nama Wak Lan, dimana Wak itu yang berasal dari Jawa yang majoriti penduduk di negeri ini dan Lan diambil dari nama terakhir beliau Idlan,” katanya kepada Sinar Harian.
Ghazali berkata, nama gelaran baru itu seakan memberi perubahan dan kebangkitan yang membawa harapan 27,243 peminat bernaung di bawah FB kelab.
Katanya, pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) tidak mempunyai masalah dengan nama tersebut kerana mereka menggunakan nama rasmi dalam sebarang urusan.
Norshahrul Idlan mengesahkan penyertaan mewakili Johor selepas menandatangani kontrak secara tertutup di sebuah hotel di ibu negara, Selasa lalu, selepas beberapa jam Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pemain itu bebas untuk bermain dengan mana-mana pasukan musim depan.
No comments:
Post a Comment