HAMPIR tujuh tahun membabitkan diri dalam dunia lakonan, baru sekarang nama Nelydia Senrose, 19, dikenali umum. gara-gara kegilaan ramai terhadap drama bersiri terbaru lakonannya, Setia Hujung Nyawa.

Ditemui di lokasi penggambaran Setia Hujung Nyawa baru-baru ini, Nelydia atau mesra dengan panggilan Nelly bersyukur dengan perkembangan itu.
Katanya, dia mula berlakon sejak berusia 13 tahun dan banyak drama dibintangi, namun tidak sangka baru sekarang orang memberikan perhatian terhadap lakonannya.
Katanya, populariti diraih Sehingga Hujung Nyawa tidak pernah membuatkan dia mendabik dada mahupun berasa besar memandangkan situasi industri perfileman dan penerbitan drama tempatan tidak menentu. Apatah lagi persaingan sangat besar dan bakat baru silih berganti.

“Saya cuba bersikap realistik dalam hidup. Sekarang pun kita lihat banyak muka baru muncul dan tidak kurang juga berbakat. Saya tidak pernah meletakkan diri antara yang terbaik kerana ada lagi bakat baru dan muda lebih berkebolehan.
“Saya belajar untuk masa depan dan sekurang-kurangnya mesti ada segulung ijazah dalam bidang berbeza. Kalau takdir menentukan bakat saya dihargai dan diperlukan sampai bila-bila, saya bersyukur.
“Bagaimanapun, andai orang tidak perlukan saya lagi, dengan kelulusan diperoleh, sekurang-kurangnya saya boleh menyertai bidang baru dan saya minati,” kata pelajar Kolej SEGI ini.

Mungkin ramai tidak tahu, Nelly adalah sepupu pelakon baru yang naik mendadak, Emma Maembong dan kakaknya, Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen, 21, atau Uqasha Senrose yang kini turut bergelar pelakon.
Bagaimanapun, Uqasaha terus ke layar perak apabila membintangi filem Bencinta berganding dengan pelakon popular, Nora Danish dan Farid Kamil yang kini menjalani penggambaran di Langkawi. Emma pula terus melonjak naik hanya menerusi dua drama.
Menilai pembabitan mereka dalam industri seni dan pencapaian diperoleh, ternyata perjalanan pelakon yang memulakan kerjaya menerusi drama bersiri Spa Q itu jauh jika dibandingkan dengan Emma.
Tegas Nelly, ia tidak perlu dijadikan isu memandangkan rezeki ditentukan Tuhan. Katanya, dia bersyukur dengan apa diperoleh sekarang dan yang pasti, dia gembira dengan populariti diraih Emma sekarang.
No comments:
Post a Comment